BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, March 29, 2010

KREATIVITI

Kreativiti adalah kebolehan asasi yang dimiliki oleh semua manusia, dan tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang tidak kreatif. Cuma, kecenderungan seseorang itu berkreatif banyak bergantung kepada faktor diri sendiri, persekitaran dan jenis masalah yang dihadapi. Selain itu, kebolehan dan bakat kreatif mestilah dipupuk dan dibaja dengan betul melalui pendekatan yang sesuai dan bersistem.Disiplin kreativiti masih dianggap baru berbanding disiplin-disiplin lain dalam sains kognitif. Kreativiti menjadi sangat penting apabila Presiden Psikologi Amerika iaitu J.P Guildford mengutarakan kepentingan kreativiti. Secara umum konsep kreativiti ini dapat dilihat dalam dua perspektif yang luas. Pertama, kreativiti dalam perspektif empirikal atau ilmiah. Manakala yang kedua adalah kreativiti dalam perspektif praktikal. Kedua-dua konsep kreativiti ini tidak berbeza, cuma perspektif yang pertama itu lebih mengutamakan pengkajian kreativiti dan dilakukan dalam pelbagai situasi dan konteks. Manakala, perspektif yang kedua pula lebih memberi tumpuan kepada amalan dan metode berkreativiti dalam pelbagai amalan seperti perniagaan, komunikasi, pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya.
Masyarakat umum masih kabur berkenaan apa yang dimaksudkan dengan pemikiran kreatif atau kreativiti itu sendiri. Jika ada yang mengatakan dia tidak memiliki kreativiti, ia seolah-olah menyanggah anugerah yang diberikan oleh Tuhan Walaupun kreativiti adalah anugerah yang diberikan oleh Tuhan sejak azali, jika ia tidak dipupuk oleh persekitaran dan diri sendiri, kreativiti yang berkualiti tidak mungkin berhasil. Berfikir secara kreatif adalah suatu seni. Seni berfikir kreatif melibatkan keupayaan manusia memusatkan tumpuan dan usaha ke atas sebarang penyelesaian kreatif. Seni berfikir kreatif adalah suatu kemahiran yang dibina menerusi pembelajaran dan pengalaman. Seni berfikir kreatif berlaku boleh diperoleh secara tiba-tiba ketika seseorang sedang memberi tumpuan bagi menyelesaikan masalah. Oleh yang demikian, menurut sarjana disiplin pemikiran kreatif seni berfikir kreatif melibatkan elemen-elemen seperti penggunaan teknik berfikir kreatif,latihan yang berulang-ulang,kewujudan motivasi ekstrinsik dan intrinsik dalam proses berfikir kreatif,jelas pada objektif yang hendak dicapai,memiliki pengetahuan khusus dalam sesuatu bidang,bentuk masalah yang cuba diselesaikan dan berada ditempat dan masa yang betul.
Secara umunya, dalam minda manusia terdapat dua fasa penting proses berfikir iaitu menerbitkan idea dan membuat penilaian. Kedua-dua fasa ini saling melengkapi antara satu sama lain. Manusia memiliki kedua-dua keupayaan ini dalam menerbitkan dan menilai idea. Namun begitu, kebolehan ini berbeza berdasarkan beberapa faktor seperti pendidikan, pengalaman, kepintaran dan sebagainya. Apa yang jelas, kedua-dua kebolehan ini boleh dipelajari secara bersistematik bagi menjadi seorang pemikir yang berkesan dan praktikal. Kemampuan manusia berfikir secara kreatif dan kritis ini tidak sama. Ada individu yang mahir berfikir secara kreatif dan ada pula individu mahir berfikir secara kritis.
Oleh yang demikian, seni berfikir kreatif sebenarnya menghendaki individu mahir dalam kedua-dua jenis pemikiran ini. Jika individu hanya mahir dalam salah satu daripadanya, sudah tentu sesuatu idea itu tidak dapat diterjemahkan secara konkrit, praktikal, berguna dan berkesan. Kesimpulan Kreativiti adalah suatu kebolehan berfikir dan bertindak yang tidak berasaskan logik biasa kerana logik bersifat ‘penilaian.’ Tetapi, itu tidak bermakna kreativiti tidak memerlukan pemikiran kritis dan analitis. Kreativiti tahap tinggi sangat memerlukan pemikiran logik-kritis kerana idea-idea yang asli belum tentu berjaya jika ia dipasarkan. Banyak contoh berlakunya kegagalan dalam pemasaran idea-idea kreatif seperti alat pengopek durian dan alat memanjat pokok kelapa. Oleh yang demikian, pemikiran kritis – analisis, penilaian, perbandingan dan sebagainya amat penting sebelum sesuatu idea dipasarkan dan dihebahkan.

0 comments: